Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Lata Rek
Lata Rek adalah kawasan air terjun yang cukup terkenal di negeri Kelantan. Air terjun ini diwartakan sebagai tempat perkelahan yang amat sesuai untuk seisi keluarga bersuka-ria dan mencari ketenangan. Kawasannya terletak berhampiran Kg. Laloh, iaitu lebih kurang 30 km dari Bandar Kuala Krai, Kelantan. Orang ramai boleh ke sana melalui Lebuh raya Kuala Krai-Gua Musang. Kebiasaanya. Buat masa ini, tempat penginapan belum disediakan oleh pihak tertentu kerana masalah banjir yang boleh merosakkan struktur bangunan di sini terutama pada musim tengkujuh. Apapun, air terjun ini amat sesuai untuk sesi keluarga dan pekhemahan.
Gunung Stong
Gunung Stong terletak di Dabong iaitu di Daerah Kuala Krai Selatan. Gunung ini mempunyai ketinggian 4,664 kaki (1,421 meter) dari aras laut. Gunung ini merupakan gunung yang amat popular di kalangan pendaki dari seluruh Malaysia. Tarikan utama yang terdapat di gunung ini ialah air terjun Jelawang setinggi 303 meter dari aras laut dan merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Dari Dabong pengunjung perlu menaiki bot untuk merentas Sg. Galas kira-kira 5 minit perjalanan. Perjalanan seterusnya sejauh 5KM jalanraya berturap dengan van atau kereta sapu untuk tiba di Kg. Jelawang. Resort Jelawang berada di kaki Air Terjun Jelawang 666 kaki dari aras laut. Resort ini menawarkan kemudahan chalet, bilik mesyuarat, surau serta tandas. Beberapa tempat menarik boleh dilawati di sekitar Gunung Stong seperti Gua Rantai, Air Terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan Air Terjun Dua Gunung.
Rumah Kraf Tangan Kuala Krai
Pusat Kraftangan Kuala Krai telah dirasmikan pada 30 Ogos 2001.Hasil daripada pengubahsuaian sebuah rumah kerajaan yang tidak didiami selama 7 tahun. Ianya terletak di Bandar Kuala Krai,bersebelahan dengan pintu masuk ke Taman Burung Kuala Krai dan Taman Tasik Krai. Pusat Kraftangan Kuala Krai diwujudkan sebagai tempat pameran dan jualan hasil kraf terutama sekali bagi pengusaha kraf di Mambong dan masyarakat setempat yang ingin menjual/mempamerkan hasil kraf mereka kepada orang ramai. Disamping itu, ia juga mampu menjadi daya penarik kepada pengunjung yang datang ke Taman Tasik Krai dan ke Taman Burung Kuala Krai.