Program Kesedaran Keselamatan (Fire Drill)
17 Mac 2023 | Aktiviti TerkiniPada 16 Mac 2023 - PEDi Kg. Karangan telah menjayakan Program Taklimat Keselamatan dan Latihan Mencegah Kebakaran (Fire Drill) bersama Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Daerah Kuala Krai (JBPM) bertempat di PEDi Chuchuh Puteri B, Kuala Krai, Kelantan. Program bermula jam 3.00 petang sehingga 5.00 petang dengan kerjasama bersama PEDi Chuchuh Puteri, PEDi Manek Urai, Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Chuhcuh Puteri serta dengan kehadiran penduduk kampung Chuchuh Puteri dan sekitar.
Tujuan demonstrasi kebakaran ini diadakan adalah untuk mendedahkan masyarakat setempat tentang tindakan yang perlu diambil jika terjadi sesuatu kebakaran samada di rumah mahupun di tempat kerja. Selain itu, pihak bomba juga memberikan tip dan kaedah yang wajar diambil untuk mengelakkan daripada sebarang kebakaran berlaku. Secara tidak langsung, program ini juga dapat menjalinkan hubungan yang erat antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan pencegahan kebakaran bersama-sama penduduk setempat.
Antara aktiviti yang dijalankan pada program ini adalah demonstrasi menggunakan alat pemadam api untuk memadam kebakaran yang berpunca daripada dapur gas atau selainnya. Penonton juga diberi peluang untuk menyertai latihan tersebut dengan memadam sendiri api kebakaran yang dimarakkan oleh pihak bomba. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang hadir dan dapat dijalankan dengan lebih jaya pada masa akan datang. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir dan memberi kerjasama sepanjang program berlangsung.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: