Bicara Pagi - Menuju Fasa Peralihan Endemik COVID-19
12 April 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Karangan, Isnin – 11 April 2022 - PEDi Kg Karangan telah bekerjasama bersama PEDi Batu Gajah, PEDi Repek dan PEDi Lawang dalam satu sesi perkongsian live di Facebook untuk mengupas tentang peralihan fasa COVID-19 dengan topik “Menuju Fasa Peralihan Endemik Covid 19” menggunakan aplikasi StreamYard live menerusi facebook PEDi Repek. Perkongsian ini membicarakan tentang negara kita Malaysia yang kini sedang berada dalam fasa ‘Peralihan Pandemik ke Endemik’ dan kita harus belajar untuk hidup bersama dengan virus ini, dalam keadaan yang paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga, dan masyarakat.
Siaran langsung pada kali ini adalah bertujuan untuk berkongsi secara ringkas tentang fasa peralihan endemik serta persediaan yang perlu masyarakat ambil tahu untuk memasuki fasa tersebut. Endemik merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), membawa maksud penyakit berjangkit yang mudah merebak dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama dan sentiasa wujud di sesuatu tempat. Penyakit ini dijangka sentiasa ada tetapi pada kadar yang stabil serta rendah dengan bantuan program vaksinasi COVID-19. Kita perlu menerima yang virus ini hidup di persekitaran kita dan memahami risiko penularan COVID-19 dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam dan sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan aktiviti harian untuk memastikan kita dan keluarga kekal selamat. Kita kini sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik dan belum lagi memasuki fasa endemik. Oleh yang demikian, SOP yang ditetapkan semasa fasa peralihan ke endemik ini perlu diamalkan oleh setiap individu supaya dapat mencegah penularan jangkitan COVID-19 dan seterusnya dapat beralih ke fasa berikutnya dengan lebih cepat.
Semoga perkongsian ini dapat membantu masyarakat untuk memahami apa itu fasa peralihan endemik dan berjaya untuk mengatasi COVID-19 dan kita semua berjaya mengharungi kehidupan dengan normal baru yang lebih sihat dan bahagia.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: