Kem Cuti Sekolah Ekelas 2018
24 November 2018 | Aktiviti TerkiniPada 21 sehingga 23 November 2018, tiga orang ahli dari Pusat Internet (PI) Kg Karangan telah terpilih untuk menyertai Kem Cuti Sekolah eKelas yang telah diadakan di Kuala Lumpur. Tahniah diucapkan kepada wakil peserta eKelas dari PI Kg Karangan iaitu Syamil Daniel B. Saharim, Muhammad Haziem B Hamidi dan Mohamad Fitry Adhas B. Sahidi kerana telah terpilih untuk menyertai Kem Cuti Sekolah eKelas ini yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang memperkasakan pembelajaran, melangkaui silibus di sekolah. Pelajar telah didedahkan dengan pembelajaran kolaboratif dan pendigitilan sambil berseronok.
Pihak Maxis eKelas telah menjalankan penilaian dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik & Sains bagi memilih pelajar yang layak untuk menyertai kem ini. Pelajar yang terpilih merupakan pelajar yang menunjukkan usaha dan kerajinan sepanjang tahun 2018 dengan mengumpul mata tertinggi dalam Portal eKelas di kalangan lebih 100 pelajar-pelajar lain yang telah menjalani ketiga-tiga penilaian. Kem Cuti Sekolah eKelas ini adalah satu cara bagi pihak Maxis eKelas memberi ganjaran kepada anak-anak pelajar yang bersemangat dan berdedikasi sepanjang menyertai eKelas. Sepanjang kem tersebut, para pelajar telah di bawa melawat ke menara maxis, petrosains dan pelbagai lagi tempat menarik.
Untuk pengetahuan semua, eKelas adalah program komuniti perdana Maxis. Direka khas sebagai satu kelas tambahan digital di luar waktu sekolah, eKelas memupuk pembelajaran dalam cara yang lebih menyeronokkan. Program ini telah dijalankan di 55 Pusat Internet yang terletak di seluruh Negara kecuali Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Sabah. Program ini ditawarkan kepada pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dan mengfokuskan kepada tiga subjek penting iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Program ini merupakan program tahunan untuk Pusat Internet yang terpilih untuk mengadakan program eKelas seluruh Malaysia. Diharapkan program yang telah diadakan ini dapat memberi ilmu yang berguna kepada semua yang terlibat dan dapat diadakan lagi pada masa akan datang dengan lebih jayanya.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: